Monday, 2 January 2012

MELAYU DAN ISLAM TIDAK DAPAT DI PISAHKAN Renungan pada semua bangsa Melayu yang pelbagai ideologi politik dan fahaman

Salam sahabat2. Setiap yang diperkatakan perjuangan menuntut akan ERTI PENGORBANAN. Adalah tidak syak malah suluh lagi terang bahawa perjuangan sebagai muslim ialah menegakkan ADDIN iaitu ISLAM dan adalah wajib bagi seorang muslim mempertegakkan AHLI SUNNAH WALJAMAAH. Justeru itu, Memetik kitab karangan virginia matheson hooker yang berjudul "TUHFAS AL NAFIS". Sejarah Melayu Islam bahawa Melayu dan islam tidak dapat di pisahkan. Begitulah hebatnya ketajaman akal seorang pemerhati luar yang bukan beragama islam dan mengambil sumber rujukan dari 126,000 kata karya atau manuskrip Raja Ali Raja Haji. Pengajaran yang boleh di adaptasikan disini ialah hasil karya Raja Ali Raja Haji selaku ulama sufi Ahli Sunnah Waljamaah telah membuka mata dunia tentang kehebatan beliau mempertegakkan Islam dan Bangsa Melayu itu sendiri.

Arus pemodenan atau globalisasi telah memudarkan semangat perjuangan Islam malah Bangsa Melayu itu sendiri. Demi kepentingan politik khususnya, Bangsa Melayu mulai merasai impak perpecahan malahan apa yang lebih menyedihkan ialah Islam digunakan sebagai kenderaan bagi mereka yang tidak bertanggungjawab untuk meraih undi. Justeru itu, perhatikan baik2 bahawa perselisihan dan percanggahan ideologi telah mengundang padah kepada agama Islam dan Bangsa Melayu.

Hakikat Melayu dan Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diceraikan apatah lagi dipisahkan. Iktibar haruslah diambil melalui peristiwa pejuang-pejuang Melayu Islam yang Hak seperti Mat Kilau. Beliau ialah seorang ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemimpin yang disegani kerana memiliki pemikiran yang luas, dan juga ahli dalam persilatan. Selain mempunyai keperibadian yang tinggi serta tegas sebagai pemimpin, beliau telah membuktikan melalui pengorbanan yang sukar ditanding tara. Maka sesungguhnya segala perjuangan beliau adalah khusus  untuk anak bangsa yang beragama Islam kerana penentangan yang ditentang bukan sahaja demi maruah bangsa malah agama Islam.

Harga bagi satu perjuangan ialah pengorbanan dan harga diri bagi satu pengorbanan ialah tertegaknya yang Hak dan lenyapnya yang batil. Nikmat Iman dan Islam yang dapat kita kecapi adalah kerana pejuang-pejuang Negara yang telah mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Dengan itu dasar perlembagaan Malaysia itu sendiri yang terang-terang menggariskan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertaklik kepada Mazhab As-Syafie dapat dimeterai. Oleh itu amatlah bersyukur kita bahawa kerajaan yang telah tertegak lebih dari 54 tahun tidak memilih aqidah yang kononnya digelar As-Salafi atau Wahabi (ajaran yang tidak digalakkan oleh kerajaan Malaysia untuk diamalkan dan ianya bukan ajaran sesat dan boleh diamalkan), apatah lagi Muktazilah, Syiah, Khawarij, Murjiah, Qadariah, Jabariah dan lain-lain lagi. Perlu diingat bahawa aqidah atau iktikad merupakan pokok bagi agama dan sesuatu amalan adalah tertolak selain daripada pegangan  Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya kita menggunakan Islam sebagai punca perpecahan sedangkan di kalangan mereka yang bergelar ulama' beriktikad kepada selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah? Dimanakah kesepakatan yang kita lihat boleh membangunkan syiar Islam melalui dakyah parti pembangkang? Jangankan Agama Islam, Bangsa Melayu yang kita cintai turut tergadai. Justeru itu berbaliklah pada pegangan yang sebenar dan perjuangkanlah agama Islam serta Bangsa Melayu agar kita dapat terus bersatu.

Pelbagai cara yang telah dimanifestasikan oleh kerajaan setelah kemerdekaan bagi mewujudkan keharmonian dan kedamaian di Malaysia tidak kira bangsa dan agama. Tidak dinafikan bahawa kita telahpun mengecapi nikmat ini hasil daripada kerajaan yang tertubuh lebih daripada 54 tahun. Sejarah mengajar bahawa betapa pentingnya  berdiri di atas kaki sendiri khususnya untuk orang Melayu Islam tanpa perlu dibantu oleh penjajah. Di sini kita dapat memerhatikan keharmonian dan perpaduan terjalin erat tidak kira bangsa dan agama. Persoalannya, adakah dengan menjunjung laungan pihak pembangkang "Harapan Baru Buat Malaysia" atau acebook UMNO Tumpas atau tagline ABU "Asalkan Bukan UMNO" dapat menjernihkan lagi keadaan. Adakah tagline-tagline ini dapat menyatu-padukan semua bangsa dan agama? Dimanakah letaknya status agama Islam dan Bangsa Melayu? Ketajaman akal dalam menilai situasi sebegini adalah amat perlu. Hak bangsa Melayu dan agama Islam yang dipertahankan adalah titik tolak ke arah keharmonian dan keamanan yang kita capai sehingga ke hari ini. Janganlah orang Melayu Islam menjadi seperti peribahasa berikut "Menang Sorak, Kampung Tergadai".

Suasana dan situasi politik di Malaysia haruslah dilihat dari sudut yang lebih jauh dan tinggi. Pamandangan dari atas (helicopter view) merupakan pemandangan yang lebih jelas bagi mengesan punca serta kesan pada generasi hadapan. Perpecahan orang Melayu Islam dianggap memalukan kerana situasi itu tidak wujud pada bangsa dan agama lain di Malaysia. Sebagai contoh, walaupun terdapat perselisihan faham mengenai perbedaan ideologi politik di kalangan bangsa Cina, mereka terus gah dan bersatu di dalam semua aspek contohnya dalam keagamaan, perniagaan, kemasyarkatan dan lain-lain. Malahan, bangsa India terus maju ke depan walau apapun isu-isu orang Melayu Islam hangat diperkatakan. Soalnya, di manakah letaknya maruah agama Islam dan Bangsa Melayu? Dakyah DAP yang mahukan Malaysia diiktiraf sebagai sebuah Negara Sekular seperti Singapura harus ditentang habis-habisan. Bagi mewujudkan kestabilan politik di Malaysia, maka perpaduan orang Melayu Islam adalah faktor utama ke arah Malaysia yang lebih cemerlang lagi gemilang. Malahan dengan wujudnya perpaduan Melayu Islam ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Melayu Islam tetapi semua bangsa dan agama yang berada di Malaysia kerana terbukti kerajaan yang sedia ada di bawah kepimpinan sekarang YAB Dato' Seri Najib Tun Abduk Razak selaku Perdana Menteri, telah membawa keamanan dan kedamaian kepada semua kaum, bangsa dan agama.


Kejatuhan bukanlah merupakan titik-tolak bagi satu kehancuran. Apa yang penting ialah mengenal dan mengetahui punca kejatuhan atau sesuatu permasalahan. Oleh yang demikian, sewajibnya kesatuan harus dihidupkan di kalangan orang Melayu Islam itu sendiri. Jati diri Melayu harus dipertingkatkan dan kebenaran harus dijunjung seperti yang dinyatakan berulang-ulang, MELAYU DAN ISLAM TIDAK DAPAT DIPISAHKAN.  Inilah sebenar-benarnya harapan baru buat NEGARA MALAYSIA.