TANYA kepada diri sendiri, sekuat manakah wujudnya semangat sukarelawan di dalam hati kita, atau lebih umumnya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Adakah kita merupakan sebuah masyarakat yang ringan tulang dan mempunyai semangat sukarelawan yang kuat?
Meluntur buluh biarlah daripada rebung. Itu sebabnya golongan belia atau generasi baru perlu diserapkan semangat murni ini. Dalam hal ini, sebenarnya golongan belia telah mula mengorak langkah, terutamanya apabila wujudnya iM4U, iaitu 1Malaysia For Youth yang diilham dan dilancarkan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2012.
Sehingga ini, iM4U mempunyai 100,000 orang sukarelawan di seluruh negara. Dan sejak awal 2013, iM4U telah melaksanakan kira-kira 500 aktiviti sukarelawan serta 135 projek melalui rangkaian Pusat Outreach.
Antara matlamat utama iM4U adalah melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelaan dan pembinaan negara yang akan memberi pelbagai manfaat kepada kemajuan masyarakat di Malaysia. iM4U menawarkan program kesukarelaan yang meliputi pembangunan belia, keusahawanan sosial, khidmat masyarakat, sukan, kesenian, kebudayaan dan juga inovasi.
Kini iM4U telah mengembangkan sayap apabila membuka rangkaian antarabangsa pertamanya di luar negara dengan pelancaran Pusat Outreach iM4U United Kingdom baru-baru ini. Pusat Outreach iM4U United Kingdom akan mengerakkan pelbagai aktiviti kesukarelawan di kalangan kira-kira 15,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di United Kingdom.
Ketika melancarkan iM4U di Kota London, Najib menegaskan yang beliau ingin melihat wujudnya sebuah gerakan yang mampu membakar semangat anak-anak muda Malaysia khasnya generasi hari ini untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Penulis amat bernasib baik kerana turut sama menghadiri majlis bersejarah yang diadakan di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Templewood Gardens yang terletak di utara London.
Dan apa yang penulis perhatikan, terdapat pelbagai kategori pelajar dari Malaysia yang menuntut di UK. Itulah sebabnya iM4U yang dilancarkan ini merupakan medan mengeratkan lagi perpaduan di kalangan pelajar-pelajar kita di UK.
Secara tidak langsung juga akan wujudnya hubungan yang positif antara para pelajar tanpa mengira latarbelakang jurusan dan pendidikan yang diceburi. Bukan itu sahaja, perhubungan antara para pelajar, tanpa mengira kaum juga akan semakin akrab dan semangat sukarelawan akan dapat disemai.
Penulis juga sempat bertemu dengan saudara Dzuhair Datuk Hanafiah, bekas presiden kelab UMNO London serta beberapa ahli kelab UMNO London yang juga menyokong kuat usaha Perdana Menteri menerokai bumi London dengan program iM4U ini. Mereka begitu yakin yang usaha ini akan mengeratkan lagi persefahaman dan kerjasama antara para pelajar dan juga masyarakat setempat di sini.
Di majlis tersebut, saya masih ingat apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri bahawa - " Saya impikan bahawa satu hari nanti belia negara kita dan negara lain akan bersatu dalam usaha untuk membantu bukan sahaja antara satu sama lain, tetapi juga masyarakat keseluruhannya.''
Dengan terlaksananya program seperti ini, saya yakin impian dan idealismenya itu akan menjadi kenyataan. Apa yang penting, kita semua perlu bersama-sama berganding bahu bagi memastikan setiap aktiviti sukarelawan itu mencapai objektifnya.
Semasa jamuan, saya sempat berbual-bual dengan beberapa pelajar yang menghadiri majlis tersebut dan semuanya mengalu-alukan usaha ini. Mereka menganggap kerjasama iM4U dengan Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Ireland (UKEC) iaitu pertubuhan induk persatuan-persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland boleh mengeratkan lagi silaturrahim dan menguatkan semangat sukarelawan di kalangan para pelajar Malaysia.
Dalam hal ini, fikiran saya terus terlintas, bahawa semangat sukarelawan ini juga dapat membimbing kita semua bagaimana untuk bersama sama membangunkan sesuatu komuniti itu. Komuniti yang positif dan aktif adalah disebabkan oleh ahli-ahli masyarakatnya. Dengan adanya ahli yang mengamalkan sikap dan semangat sukarelawan yang tinggi, maka komuniti itu juga akan mendapat faedahnya.
Bagaimana pula dengan para pelajar Malaysia yang menuntut di negara lain, seperti Amerika Syarikat, Australia, German dan Mesir contohnya. Penulis diberitahu yang usaha ini sedang giat dijalankan dan akan direalisasikan secepat mungkin. Biar satu dunia melihat semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia, tanpa mengira, di mana bumi dipijak.
Semasa majlis itu juga, Perdana Menteri kita juga mempunyai impian dan cita-cita yang iM4U akan menjadi sesuatu yang global. Beliau mahukan belia negara ini dan belia negara lain akan berganding bahu " atas semangat berkhidmat untuk menjayakan ideal yang lebih besar daripada diri sendiri, bagi mengubah masyarakat atas semangat kesukarelaan".
Memandangkan iltizam serta semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang hadir pada majlis tersebut, Penulis yakin impian Perdana Menteri kita akan terlaksana.
Maafkan penulis kerana di London juga penulis baru mendapat tahu yang 2013 adalah Tahun Sukarelawan Negara. Dan pastinya sikap dan semangat sukarelawan ini sememangnya perlu dipupuk kerana Perdana Menteri pernah menyatakan keyakinannya bahawa sistem nilai, budaya dan sikap masyarakat akan memainkan faktor penting dalam menentukan kejayaan serta masa depan Malaysia serta menjadi pelengkap agenda transformasi negara untuk membawa perubahan.
Dan inilah nilai-nilai yang sedang diserapkan kepada generasi baru dan golongan muda. Kepada golongan muda, terimalah cabaran ini untuk bersama-sama membangunkan negara kita
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130731/re_07/iM4U-bergerak-tanpa-sempadan#ixzz3Lbi8Wcvj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment