AHLI-AHLI Parlimen dalam sesi pembentangan Bajet 2015 di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. - UTUSAN/Aizzul A. Majid
SELAIN daripada memuji semangat kental pasukan Kedah membenam Kelantan dalam pertandingan Piala Malaysia di peringkat suku akhir, tumpuan penulis dan kawan-kawan yang melepak di kafe kopi lewat hari Jumaat malam Sabtu lalu adalah tentang pembentangan Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memang tidak ada seorang pun di antara kami yang merupakan tokoh ekonomi, tetapi ramai juga yang menyuarakan pandangan tentang belanjawan tersebut. Walaupun dari segi penghujahan tidak mampu memberikan fakta seperti seorang analisis ekonomi, namun kami masih dapat berbincang dan berbahas tentang Bajet 2015 itu.
Sebagaimana bajet yang sudah-sudah, kita tidak boleh nafikan, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memuaskan hati semua golongan rakyat Malaysia. Masih terdengar suara-suara yang kurang puas hati dan merasakan kerajaan sepatutnya lebih memberikan tumpuan kepada sesuatu sektor dan golongan tertentu. Ada sektor atau golongan tertentu dipinggirkan.
Ini adalah lumrah masyarakat dan sepertimana yang dijelaskan, memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak dan golongan.
Dari kaca mata pembangkang pula, sudah tentulah tidak ada satu pun rancangan Bajet 2015 ini yang dilihat sebagai sesuatu yang positif. Semuanya negatif.
Namun bagi Najib, apa yang lebih mustahak adalah Bajet 2015 ini masih terus memberi tumpuan kepada program-program yang mensejahterakan kehidupan dan ekonomi rakyat. Ini adalah fakta yang sengaja tidak dipandang atau dibincangkan oleh pihak pembangkang.
Secara keseluruhannya belanjawan ini masih meneruskan pendekatan yang selama ini diamalkan oleh kerajaan, iaitu menekankan manfaat kepada rakyat dan pada masa sama merangsang pertumbuhan ekonomi serta menambah baik kedudukan fiskal negara.
Apa yang pasti, Bajet 2015 telah cuba memenuhi keperluan rakyat dengan menggariskan pelbagai peruntukan dalam isu yang dekat di hati rakyat di negara ini.
Najib sejak dari dahulu lagi begitu konsisten dengan matlamat utamanya untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat yang mana apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah demi kepentingan rakyat khasnya untuk jangka masa panjang. Inilah wawasan yang sentiasa dimiliki beliau yang tidak memikirkan soal populis tetapi yang lebih penting ialah apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat.
Itu sebabnya usaha membantu rakyat mengatasi peningkatan kos sara hidup menjadi salah satu teras Bajet 2015.
Langkah menangani peningkatan kos sara hidup menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam menyahut keperluan 28.7 peratus penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Bagi membantu golongan yang memerlukan pula, Perdana Menteri mengulangi komitmen kerajaan dengan meningkatkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta terus berusaha untuk mengekalkan kadar inflasi yang rendah.
Selain itu, kadar pungutan cukai individu diturunkan satu hingga tiga peratus untuk semua pembayar cukai dan ini membolehkan 300,000 pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai. Dan pastinya langkah ini dapat juga membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, kerajaan terus memberi perhatian kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi membina lebih banyak lagi rumah mampu milik. Tentunya kita semua sedar tentang harga rumah yang semakin melambung tinggi.
Itu sebabnya keprihatinan kerajaan dalam menangani isu ini bakal memberikan kesan positif kepada industri perumahan khasnya dari segi pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.
Di samping itu, Projek Khas Perumahan Nelayan iaitu dari segi membaik pulih dan membina rumah nelayan merupakan langkah yang dialu-alukan untuk menaikkan mutu kehidupan golongan nelayan. Ini membuktikan juga sikap keprihatinan kerajaan terhadap golongan nelayan yang telah banyak memberikan jasa dan sumbangan kepada rakyat Malaysia.
Penulis juga tertarik dengan Skim Perumahan Belia yang pastinya akan memberi kebaikan kepada pasangan muda yang ingin memiliki rumah, khasnya kepada mereka yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. Skim ini merupakan perkongsian pintar antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Cagamas.
Dalam skim tersebut, syarat kelayakan bagi pinjaman adalah, had pembiayaan rumah pertama bernilai tidak melebihi RM500,000, berusia antara 25 hingga 40 tahun, telah berkahwin, pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah, serta tempoh pembiayaan maksimum 35 tahun. Golongan belia yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan juga terus diberi perhatian melalui Program Transformasi Belia Negara yang merupakan salah satu strategi utama dalam pembentangan Bajet 2015.
Usaha ini membuktikan kerajaan tidak meminggirkan golongan belia dalam rancangan pembangunan negara serta mengiktiraf peranan, potensi dan sumbangan golongan belia terhadap kemajuan negara.
Dalam pada itu, kerajaan juga mahu mengukuhkan aspek kepimpinan belia melalui Program Felo Perdana, Parlimen Belia Malaysia, Anugerah Remaja Perdana Malaysia serta memperkenalkan program Akademi Kepimpinan Belia untuk mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan belia negara ini.
Selain dari segi keusahawanan, program seperti penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), SME Bank dan Agro Bank serta Agropreneur Muda juga bakal melahirkan ramai usahawan muda. Program Agropreneur Muda yang merupakan program tani dan ternak, ini disasarkan untuk menjana pendapatan sehingga melebihi RM5,000 sebulan.
Sebagaimana yang dijelaskan, memang sukar untuk memenuhi semua kehendak masyarakat ketika membuat perancangan untuk Bajet 2015.
Namun begitu, penulis yakin rakyat Malaysia memahami dan memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan berikutan dengan pembentangan Bajet 2015. Ini adalah satu bajet yang dinamik, bertanggungjawab dan telah dirancang untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141014/re_01/Belanjawan-yang-bertanggungjawab#ixzz3LbjwiRdN © Utusan Melayu (M) Bhd