Thursday, 11 December 2014

Kepimpinan Untuk ERA Sekarang

ISU tentang kritikan dan teguran daripada negarawan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi perbualan hangat di mana-mana. Dr. Mahathir bukan sahaja mengkritik tetapi juga menarik balik sokongan terhadap Najib.

Pelbagai alasan diberikan oleh Dr. Mahathir dan setiap kritikannya itu mendapat perhatian semua pihak. Ramai yang menganggap beliau sememangnya berhak untuk menegur sesiapapun yang bergelar pemimpin. Mungkin ada yang mempertikaikan caranya mengkritik dengan terbuka, tetapi itulah Dr. Mahathir yang kita kenali.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpendapat Dr. Mahathir tidak salah menyatakan ketidakpuasan hatinya tetapi biarlah setiap teguran disampaikan secara baik dan tertutup, sebagaimana yang menjadi amalan dalam UMNO. Namun sebagaimana yang penulis tegaskan, itulah Dr. Mahathir yang kita semua kenali.

Penulis tertarik dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa Najib ialah pemimpin negara yang sesuai dengan zaman dan eranya. Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa kita tidak boleh membuat perbandingan kepimpinan kerana setiap pemimpin mempunyai era dan zamannya yang tersendiri.

Kalau dalam bahasa bola sepak, adalah sukar untuk membandingkan kehebatan Diego Maradona dan Lionel Messi kerana kedua-duanya berasal dari era yang berbeza. Messi boleh dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo dan bukannya dengan Maradona ataupun Pele.

Ya, mungkin dalam politik, kita tidak boleh menyamakannya dengan bola sepak, tetapi itu adalah asas yang perlu diambil kira jika hendak membuat perbandingan. Semasa zaman Dr. Mahathir, senario politik dan pentadbiran berbeza dengan hari ini .

Dunia hari ini ialah dunia tanpa sempadan dan dalam hal ini, Najib telah melakukan yang terbaik untuk memimpin Malaysia berdasarkan senario, mood serta persekitaran politik yang berlaku pada hari ini. Cabaran dahulu adalah berbeza dan pastinya pendekatan yang digunakan juga adalah berlainan.

Contohnya, zaman dahulu, pergerakan media hanya terhad pada suratkhabar sahaja. Hari ini dunia bergerak tanpa sempadan. Setiap tindakan yang diambil terus dilihat dengan begitu kritikal sekali. Malaysia dan juga dunia umumnya berhadapan dengan ledakan kemajuan teknologi maklumat dan pastinya faktor ini memberikan ruang dan peluang tanpa sempadan untuk terus mengkritik kepimpinan Najib atau sesiapa sahaja pemimpin di dunia ini.

Dalam hal ini, maklumat bukan sahaja disampaikan tetapi terus dibincangkan dalam satu forum yang mana arenanya ialah alam maya tanpa mempertemukan mereka yang berbincang. Apa yang dimaksudkan adalah kehidupan masyarakat hari ini jauh berbeza dengan masyarakat 30 tahun dulu.

Sebagaimana yang dijelaskan, kritikan dan teguran daripada Dr. Mahathir bukanlah sesuatu yang salah walaupun kita tidak semestinya bersetuju dengan semua tegurannya. Beliau adalah negarawan yang dihormati dan pastinya beberapa pandangan beliau boleh dibincangkan oleh barisan kepimpinan negara.

Sebenarnya Najib bukanlah seorang pemimpin yang mahu dipuji. Beliau lebih rela tidak popular asalkan keputusan yang dibuat itu menguntungkan rakyat Malaysia.

Ya, mungkin ada yang melihat Najib bukannya seorang pemimpin yang bersuara lantang ataupun yang bertindak agresif dengan melakukan pelbagai tindakan yang menimbulkan kontroversi, namun itu tidak semestinya menggambarkan seorang pemimpin yang lemah.

Apa yang pasti Najib ialah pemimpin yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan. Contoh terbaru ialah kebijaksanaan beliau mengendalikan tragedi MH17 khususnya ketika berurusan dengan kumpulan pemisah Ukraine yang membolehkan pelbagai isu dan masalah berkaitan diselesaikan dengan cara yang begitu diplomatik.

Sebagaimana yang penulis jelaskan setiap pemimpin mempunyai keistimewaan dan kelemahannya. Dalam hal ini Najib ialah pemimpin negara yang paling sesuai dengan era sekarang yang penuh dengan cabaran. Sekali lagi dinyatakan era hari ini berbeza dengan era terdahulu.

Najib bukanlah pemimpin yang tidak melaksanakan sebarang dasar untuk membangunkan Malaysia. Antara usaha yang sedang dilaksanakan seperti Gagasan 1Malaysia, program-program transformasi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai lagi inisiatif yang sedang dilaksanakan.

Apa yang dilakukan oleh Najib boleh dilihat dari sudut negatif dan juga positif. Bahkan apa sahaja usaha yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin dunia pun boleh dilihat dari perspektif yang berbeza.

Penulis yakin ada di antara kita yang juga tidak bersetuju dengan BR1M, namun ramai yang melihat BR1M merupakan usaha yang dilakukan oleh Najib dalam menangani isu kos sara hidup kepada kumpulan sasar yang layak untuk menerimanya.

Itu adalah pendekatan yang dilakukan oleh beliau berdasarkan persekitaran dan keadaan ekonomi pada hari ini. BR1M juga membuktikan yang Najib begitu prihatin terhadap keperluan mereka yang berhak menerimanya.

Setiap pemimpin mempunyai gaya dan kaedah kepimpinan yang tersendiri dalam menangani isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.

Apa pun, daripada usaha yang sedang dilaksanakan, Malaysia telah mencapai kadar pertumbuhan 6.4 peratus untuk suku tahun kedua 2014 dan difahamkan , ini adalah pencapaian terbaik dalam kalangan negara ASEAN.

Tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh Najib adalah berat dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan. Apa yang penting Najib terus diberikan sokongan dan masa melaksanakan program transformasi demi pembangunan rakyat Malaysia.

Tuntutan dan senario politik serta ekonomi hari ini penuh dengan pelbagai cabaran dan Najib masih merupakan pemimpin terbaik dan boleh terus memimpin Malaysia menjadi sebuah negara membangun yang dihormati dan disegani di persada antarabangsa.

PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140822/re_03/Kepemimpinan-untuk-era-sekarang#ixzz3LbiO2qoa
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment